Plato Dan Raja Failasuf

No Comments »

  Plato dalam penyiasatannya tentang politik cuba  mendapatkan  sebuah negara yang mengutamakan kebijaksanaan. Beliau berhujah bahawa politik adalah aktiviti elit sesuai untuk sekumpulan kecil individu yang berpendidikan tinggi. Ideanya telahpun dipergunakan berabad-abad lamanya untuk membenarkan pemerintahan secara diktator dan oligarki.

  Plato membesar semasa Athens sedang mengalami kemerosotan , satu tempoh kekacauan politik yang hebat di mana ketika ini gurunya, Socrates, telah dengan tidak adil dijatuhkan hukuman mati dan Plato sendiri telah dipaksa untuk meninggalkan Athens. Selepas kepulangannya beliau menubuhkan the Academy, yang juga universiti pertama di dunia, sebagai pusat pengajian intelektual didalam pelbagai bidang. Pendidikan adalah minat utama Plato, dan di penghujung hayatnya beliau mencuba (tetapi tidak berjaya) untuk menukarkan Raja Syracuse yang baru, Dionysus II, kepada jenis raja failasuf yang beliau percaya sangat mustahak untuk kerajaan yang baik, satu misi yang hampir meragut nyawanya.

   Sekitar tahun 378 sebelum masihi, Plato mengarang karya politik agungnya, Republic. Berdasarkan kepada siri dialog di antara gurunya, Socrates, dengan sekumpulan tokoh Athens, karya tersebut cuba menjelaskan nasib malang yang menimpa Athens dan mengenalpasti cara bagaimana untuk mematahbalikkan kemerosotan tersebut. Plato sangat mengambil berat tentang keadilan, yang padanya membawa maksud membenarkan seseorang individu untuk memenuhi tujuannya sebagaimana yang dikehendaki oleh fitrah. Plato melihat masyarakat itu terbahagi kepada beberapa lapis,yang mana di lapis yang atas sekali diduduki oleh failasuf aristokrat. Setiap lapis terikat oleh kewajipan terhadap fungsinya,dengan ini dapat mencegah setiap lapis dari melangkaui fungsi lapis yang lain. Menurut Plato, satu lingkaran elit negarawan-failasuf diperlukan untuk memimpin yang buta -rakyat awam- kepada kehidupan baik yang mereka sendiri tidak dapat membayangkannya, sebuah cerminan kepada negara ideal, yang statik dan harmoni secara keseluruhannya.

  Penjelasan beliau tentang pemerintahan oleh golongan elit failasuf ini kadangkala dilihat sebagai pembelaan pertama terhadap konsep partisan, satu perkumpulan politik yang bersatu di sekitar doktrin rasional "saintifik", bekerja untuk kepentingan rakyat tetapi tidak bertanggungjawab kepada mereka. Dalam tahun 1930-an falsafah ini kelihatan membenarkan jenis pemerintahan totalitarian yang menjadi lazim kepada Komunis Soviet.Tetapi Plato, yang bersedia mengenakan jenis kehidupan kommunistik yang bahkan menyisihkan ikatan kekeluargaan supaya negara dapat dipertahankan, memahami sendiri kelemahan pandangan utopianya  : Ia bergantung kepada tindakan aristokrat utopianya yang disederhanakan oleh kewajipan mereka untuk bertindak mengikut kebijaksanaan, dan Plato mengakui kemustahilan dalam perkara ini.

  Karya terkemudian Plato, Statesman, mencadangkan bahawa kedaulatan hukum patut mengikat pemimpin kepada prinsip yang benar. Akhir sekali, dalam karyanya Laws, beliau mencari cara untuk menguatkuasakan sistem yang mengakui kelemahan moral seseorang individu sewaktu mencipta keadaan yang mana seseorang pemerintah boleh memerintah. Jawapan beliau adalah didikan keras untuk rakyat yang ditadbir oleh sistem ahli majlis berhierarki yang mana puncaknya diduduki oleh majlis "nocturnal' rahsia, "sheet anchor kepada negara". (sheet anchor adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada orang yang diharapkan untuk keselamatan atau kestabilan). Plato tidak pernah hilang kepercayaan terhadap perlunya kumpulan individu pencerah yang kecil  untuk memimpin kumpulan yang lebih besar kepada cahaya kebenaran, tetapi sumbangannya yang paling besar dalam pembangunan pemikiran politik eropah sebenarnya adalah ideanya bahawa sesebuah negara itu wujud untuk tujuan moral.

Kegiatan Hari Ini

No Comments »

     Masuk hari ini dah hampir 2 minggu aku cuti. Ini yang seronok jadi cikgu, murid cuti cikgu pun cuti. So plan aku nak pergi Bangi beli dvd game. Tapi tak jadi sebab kena tunggu skynet datang rumah hantar barang. Adik aku beli baju guna online. Rajin betul dia beli barang guna online.
      So hari ini aku buat kerja yang biasa aku buat masa cuti. Mula-mula basuh baju. Spin pula buat hal. Aku telefon mak aku tanya "spin ni memang rosak ke?" mak aku pula explain spin tu tombolnya kena tekan sikit baru gerak. Dah tekan kuat-kuat baru la gerak. So setel satu kerja.
     Lepas siap sidai pakaian, masak pula. Daging dalam peti ais rumah aku sangat banyak, so aku keluarkan daging tu, nak buat masak sup. Tiba-tiba lupa pula resepi, so aku tanya member aku kat FB. Dia cakap sup daging lagi sedap masak dengan lada hitam. Sebab tadi aku confuse nak guna lada hitam ke lada putih.    

     Masak sup daging ni mudah, tapi leceh skit. Leceh sebab kena rebus daging tu lama sebab nak bagi empuk. Kalau nak selamat rebus sampai satu jam baru daging tu betul-betul empuk. Tengah sibuk2 merebus tiba-tiba ada org datang. Yes.. Skynet dah sampai dengan barang kiriman. So esok boleh teruskan rancangan pergi Bangi.

       Lepas masak sup, masak sayur pula. Sayur sawi. Makan sayur hijau penting sebab sayur mengandungi serat. Serat lah yang membantu proses penghadaman. Tapi kena berhati-hati. Sebab sayur di Malaysia tinggi kandungan racunnya. Jadi pastikan kita basuh dulu sayur tu. Kata kawan aku yang mengajar sains pertanian, elok kalau rendam sayur tu dalam air garam selama beberapa minit untuk pastikan racun yang ada di dalam sayur hilang.
           Masak pun dah selesai, lepas ni nak makan pula, lepas tu main game. Hari cuti memang hari bahagia.
            #PrayForGaza #Boikot McD  #BerhentiHisapRokok
      

Anak Muda tidak Peka Tentang Politik?

No Comments »

Hari ini keluar satu artikel dari sebuah akhbar tempatan yang mengatakan tahap kesedaran anak muda untuk mendaftarkan diri menjadi pengundi masih rendah. Seolah-olah golongan muda tidak sedar pentingnya penglibatan mereka dalam amalan demokrasi untuk memilih pemimpin yang betul seterusnya membentuk kerajaan yang mantap.

Memang betul kalau dilihat pada statistik yang diberi memperlihatkan kesedaran golongan muda terhadap politik semasa tidak begitu memberangsangkan. Tetapi kenapa mereka menjadi begitu. Kenapa mereka tidak seperti anak muda zaman dulu yang begitu aktif dalam kegiatan berpolitik dan sedar akan pentingnya mengundi.

Pada pandangan aku kerajaan sendiri tidak begitu menggalakkan kegiatan berpolitik di kalangan anak muda ini.  Terutamanya anak muda yang mendapat pendidikan tinggi. Lihat saja pada pelaksanaan AUKU yang masih dikuatkuasakan di IPTA sehingga sekarang. Pelajar IPTA dihalang daripada bergiat di dalam parti-parti politik. Sehingga jika ditangkap mendengar ceramah politik (terutamanya yang dianjurkan parti pembangkang) sekalipun, boleh dikenakan tindakan digantung dari pengajian.

Ada yang berpendapat bahawa AUKU sebenarnya tidak menghalang pelajar untuk menjadi peka tentang politik. Pelajar masih boleh mengambil tahu melalui pembacaan di akhbar ataupun di internet. Tetapi bagi aku setakat mendengar dari jauh saja tidak cukup, kita juga perlu merasa dan melihat dengan mata kepala sendiri untuk mendapat kefahaman yang jelas tentang politik. Tambahan pula AUKU telah mewujudkan 'culture of fear' di kalangan pelajar apabila keterlibatan dalam politik dilihat sebagai satu kesalahan yang amat besar. Bayangkan jika di sekolah hanya kesalahan yang berat seperti bergaduh dan ponteng sekolah lebih dari 2 bulan sahaja yang boleh menyebabkan seseorang pelajar itu dibuang. Maka apabila menghadiri ceramah politik kerana sifat ingin tahu tentang isu politik yang berlegar juga boleh menyebabkan pelajar IPTA itu dibuang, tidak peliklah jika pelajar-pelajar ini melihat politik sebagai sesuatu yang tidak elok dan wajar dijauhi . Ada yang mengatakan pelajar jangan terlibat dengan politik kerana ia boleh menjejaskan pelajaran. Tapi come on la, kalau selalu keluar tengok wayang dengan awek sampai lupa nak mengulangkaji boleh menyebabkan pelajaran seseorang itu terjejas, wajarkah aktiviti keluar tengok wayang itu juga perlu diharamkan?

Kesannya kesedaran mengundi di kalangan anak muda berpendidikan tinggi ini juga semakin kurang kerana pilihan raya juga salah satu daripada kegiatan berpolitik (yang sudah dipandang negatif tadi). Mendaftarkan nama dalam senarai pemilih dan seterusnya membuang undi dianggap sesuatu yang membuang masa dan tidak dapat mengubah apa-apa. Apa gunanya politik itu jika maknanya hanya memangkah calon parti politik sekali sepanjang 5 tahun dan seterusnya biar kerajaan yang uruskan. Tak perlu bersuara tentang apa-apa isu dan terima saja segala dasar yang dirangka oleh kerajaan, laksana 'habis madu sepah dibuang'.

Oleh itu antara cara terbaik untuk menggalakkan orang muda mendaftarkan nama dalam senarai pemilih,adalah dengan menggalakkan penyertaan mereka dalam kegiatan politik, bukan dihalang. Akta seperti AUKU yang digunakan untuk menakutkan-nakutkan pelajar juga wajar dimansuhkan. Kerajaan juga perlu lebih terbuka dalam mendengar kritikan orang ramai, kerana rakyat bukan setakat abdi yang perlu bekerja untuk meningkatkan hasil pengeluaran dalam negeri, mereka juga ada peranan dalam menentukan hala tuju ke mana negara ini perlu pergi.

Aku dan Maggi Hot Cup

No Comments »

1. Peristiwa ini berlaku ketika aku bersekolah menengah. Waktu itu aku agak jakun sedikit dengan maggi hot cup sebab rasanya lebih sedap daripada maggi bungkus. Mungkin kerana kekenyalan mee tersebut dan perasaan lebih nikmat hadir bila memakannya di dalam cawan hot cup.

2. Malang harga maggi hot cup lebih mahal daripada maggi biasa. Mungkin sebab itu cuma sesekali mak aku membelinya. Maka aku pun jarang-jarang dapat menuangkan air panas ke dalam hot cup dan merasai pintalan mee kenyal yang terkandung di dalam. Isinya juga sedikit  berbanding maggi bungkus. Rasa memang nikmat tapi gagal memberikan kepuasan.

3. Maka satu idea timbul dari benakku. Selepas menghabiskan secawan, aku simpan dulu cawannya. Esoknya aku masak maggi bungkus, kemudian maggi itu aku letakkan dalam cawan hot cup kosong dengan harapan dapat merasai nikmat seperti makan maggi hot cup biasa dan pada masa yang sama merasai kepuasan memakan maggi dengan jumlah yang banyak.

4.  Ternyata aku tersilap menaruh harapan. Rasa maggi bungkus tetap juga seperti  maggi bungkus walaupun ditaruh ke dalam hot cup. Bahkan bila memakannya, bukan terasa lebih sedap, tetapi lebih pelik. Seperti memakan laksa cuma kuahnya saja yang laksa, tetapi dimakan bersama bihun.

5. Dari situ aku mendapat pelajaran moral nombor satu  iaitu kadangkala ada isi yang memang ditentukan untuk sesuatu bekas. Percubaan untuk menukarkan bekas itu dengan isi yang lain hanya akan menimbulkan kejanggalan dan kekeliruan.

Antara Agama Dan Ilmu

No Comments »

Prof Hull dalam karya terkenalnya History and Philosophy of Science mengungkap kitaran pergelutan antara agama dan ilmu pengetahuan berlaku setiap enam abad. Beliau memulakan penelitiannya dengan mengkaji abad ke 6 SM sampai abad 1 M.

Tempoh waktu ini ditandai dengan lahirnya tokoh-tokoh falsafah Yunani terkemuka, seperti Tales, Pytagoras, Aristotel, dan Plato. Pada waktu ini, para ahli falsafah mengungguli populariti pemimpin politik dan pemimpin agama. Tokoh agama hampir tidak ditemui ketika itu.

Tempoh waktu kedua dimulakan dengan lahirnya Agama Kristian sampai abad 6 M. Waktu ini ditandai dengan merosotnya populariti ahli falsafah atau ilmuwan dan pengukuhan peranan penguasa yang bekerjasama dengan gereja.
Pada waktu ini, hampir tidak ditemui ahli falsafah dan ilmuan. Sebaliknya, tercatat sejumlah raja yang berkuasa mutlak. Orang ramai tidak berani mengkaji ilmu pengetahuan kerana itu akan mendatangkan malapetaka baginya, terutama jika hasil pemikirannya bertentangan dengan pendapat istana dan gereja. 

Akibatnya, muncullah zaman kegelapan dan kebodohan. Waktu inilah yang melatari lahirnya agama Islam. Dari sini, dapat difahami mengapa Iqra menjadi titik mula ajaran Islam.

Tempoh waktu ketiga, yang bermula dengan lahirnya Nabi Muhammad (abad 6 M) sampai abad kebangkitan Eropah (abad 13 M). Rasulullah memadukan ilmu pengetahuan dengan agama, yang disimbolkan dalam iqra' bi ismi rabbik! (Bacalah dengan nama Tuhanmu). 

Iqra' adalah simbol ilmu pengetahuan, sedangkan bi ismi rabbik sebagai simbol agama. Iqra' tanpa bi ismi rabbik atau bi ismi rabbik tanpa iqra' terbukti tidak mengangkat martabat manusia dan kemanusiaan.

Tempoh waktu keempat bermula dengan melemahnya pengaruh pusat-pusat kerajaan Islam dan kebangkitan Eropah di abad 13 M. Pada waktu ini, dunia Barat hanya mengembangkan sains dan teknologi, tetapi melupakan agama sebagai pembimbingnya. Mereka mengambil kekayaan intelektual dunia Islam, tetapi meninggalkan agama.

Tempoh waktu kelima ditandai dengan kejenuhan manusia memuja pemikirannya sendiri. Akhirnya, muncul berbagai gerakan dan falsafah yang bertema kemanusiaan, seperti gerakan posmodernisme. Menurut Hull, manusia tidak mungkin dapat melepaskan diri dari agama. Dan, agama yang tidak sejalan dengan ilmu pengetahuan tidak punya tempat di masa depan.
Sumber : Studi Filsafat

Kisah 47 Ronin Dan Graduan Lepasan ISMP

2 Comments »


1.  Samurai adalah golongan pahlawan yang juga tentera professional. Mengikut kod Bushido (kod etika samurai), setiap Samurai wajib berkhidmat di bawah seorang tuan (Daimyo).Jika Daimyo mereka mati,  Samurai akan kehilangan statusnya dan mereka yang tidak bertuan inilah yang dikenali sebagai Ronin.

2.  Pada abad ke 18, berlaku satu peristiwa di Jepun, yang membabitkan 47 Ronin membalas dendam   kematian tuan mereka, yang diingati sehingga sekarang. Peristiwa ini bermula apabila seorang Daimyo, Asano Naganori dipaksa membunuh diri setelah melakukan kesalahan menyinggung seorang pegawai tinggi kerajaan, Kira Yoshinaka.

3. Akibatnya, kediaman Naganori dirampas pihak kerajaan, keluarganya dihalau dan 300 samurai yang berkhidmat di bawahnya menjadi Ronin. Akan tetapi 47 daripada 300 ronin ini bertekad mahu membalas dendam kematian Daimyo mereka.

4. Untuk menampung hidup, mereka melakukan kerja-kerja lain seperti menjadi peniaga, pekerja dalam bidang pertukangan dan sami. Ada juga yang terus menganggur dan menghabiskan masa di kedai-kedai arak dan rumah pelacuran. Ini juga dilakukan sebagai penyamaran bagi mengelakkan timbul syak-wasangka oleh pengintip Kira Yoshinaka yang sentiasa mengintip pergerakan Ronin-Ronin ini kerana bimbang kemungkinan mereka akan membalas dendam. 47 Ronin mengambil masa dua tahun hidup sebagai orang biasa untuk meyakinkan Kira Yoshinaka bahawa mereka tiada niat membalas dendam seterusnya membuatkan Yoshinaka menjadi lalai dan tidak mengetatkan kawalan di kediamannya.

4. Masa yang ditunggu akhirnya tiba. Setelah dua tahun berlalu, 47 Ronin berkumpul di Edo, memperbaharui sumpah mereka untuk membalas dendam. Mereka kemudian menyerang kediaman Yoshinaka dan berjaya membunuhnya. Kepala Yoshinaka kemudian dibawa ke kuil yang menempatkan kubur Naganori.

5. Setelah itu, 47 Ronin menyerah diri kepada pihak kerajaan. Shogun yang terharu dengan kesetiaan mereka, akhirnya membenarkan mereka mati secara terhormat iaitu melakukan ritual Seppuku daripada menghukum mereka mati sebagai penjenayah.

6. Sekarang, peristiwa yang hampir sama berlaku kepada graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP). Setelah bergraduasi pada tahun 2011 dan beberapa bulan menganggur,mereka masih tidak dapat memohon menjadi guru, kerana pengambilan baru jawatan pendidikan telah dibekukan oleh 'tuan' mereka.

7. Untuk menampung kehidupan, mereka terpaksa melakukan kerja-kerja lain, seperti menjadi penoreh getah, pekerja di pusat bowling, menolong kawan berniaga di kedai makan dan kerani pejabat. Ada juga yang terus menganggur dan hanya duduk di rumah. Yang ada kelebihan dari segi kewangan, menyambung pengajian ke peringkat Sarjana.

8. Yang berani sedikit, memperjuangkan isu ini melalui media massa atau membawanya ke pengetahuan pihak kementerian.Tetapi jawapan yang diterima masih menghampakan dengan tiada kepastian bila permohonan jawatan guru untuk lepasan ISMP akan dibuka semula. Pertanyaan dari saudara-mara dan rakan-rakan tentang bila akan diposting ke jawatan guru sebenarnya lebih merimaskan kerana mereka menyangka lepasan ISMP telahpun dijamin tempatnya sebagai guru-guru di sekolah.

9. Tambah mengecewakan, dikatakan pengambilan tersebut dibekukan kerana memberi laluan kepada guru-guru sandaran tidak terlatih untuk diserapkan ke jawatan tetap. Mereka adalah di kalangan lepasan ijazah bukan pendidikan yang menjadi guru-guru ganti di sekolah-sekolah. Ada juga ura-ura mengatakan mulai tahun depan sistem pengambilan akan ditukar kepada 'open market' di mana keistimewaan pengambilan jawatan guru bukan lagi milik para lepasan ijazah pendidikan, tetapi dibuka kepada semua lepasan ijazah yang memperoleh keputusan yang cemerlang tanpa mengira bidang yang diambil. Dasar ini seperti meminggirkan mereka yang telahpun terlatih menjadi guru dan mengutamakan mereka yang tidak terlatih.

 10. Seperti Samurai yang kehilangan kedudukan dan dicemuh setelah menjadi Ronin, pasti akan timbul perasaan tidak puas hati. Tetapi mereka hanya lepasan ISMP, bukannya samurai. Tidak ada yang berani mengambil tindakan drastik seperti menyerang mana-mana 'institusi' walaupun berasakan hak mereka telahpun digugat. Mereka tetap akur dan patuh menunggu arahan dari 'Tuan'. Diharapkan nasib lepasan 'ISMP' ini diberi sedikit perhatian dan pembelaan kerana kebanyakan dari mereka sudah lama bercita-cita menjadi guru.

Powered by Blogger.