1. Peristiwa ini berlaku ketika aku bersekolah menengah. Waktu itu aku agak jakun sedikit dengan maggi hot cup sebab rasanya lebih sedap daripada maggi bungkus. Mungkin kerana kekenyalan mee tersebut dan perasaan lebih nikmat hadir bila memakannya di dalam cawan hot cup.
2. Malang harga maggi hot cup lebih mahal daripada maggi biasa. Mungkin sebab itu cuma sesekali mak aku membelinya. Maka aku pun jarang-jarang dapat menuangkan air panas ke dalam hot cup dan merasai pintalan mee kenyal yang terkandung di dalam. Isinya juga sedikit berbanding maggi bungkus. Rasa memang nikmat tapi gagal memberikan kepuasan.
3. Maka satu idea timbul dari benakku. Selepas menghabiskan secawan, aku simpan dulu cawannya. Esoknya aku masak maggi bungkus, kemudian maggi itu aku letakkan dalam cawan hot cup kosong dengan harapan dapat merasai nikmat seperti makan maggi hot cup biasa dan pada masa yang sama merasai kepuasan memakan maggi dengan jumlah yang banyak.
4. Ternyata aku tersilap menaruh harapan. Rasa maggi bungkus tetap juga seperti maggi bungkus walaupun ditaruh ke dalam hot cup. Bahkan bila memakannya, bukan terasa lebih sedap, tetapi lebih pelik. Seperti memakan laksa cuma kuahnya saja yang laksa, tetapi dimakan bersama bihun.
5. Dari situ aku mendapat pelajaran moral nombor satu iaitu kadangkala ada isi yang memang ditentukan untuk sesuatu bekas. Percubaan untuk menukarkan bekas itu dengan isi yang lain hanya akan menimbulkan kejanggalan dan kekeliruan.
Aku dan Maggi Hot Cup
This entry was posted on Friday, January 13, 2012. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response.
Powered by Blogger.