Showing posts with label Cetusan Idea. Show all posts

PERSEPSI : Apa Perlunya Barat Campur Tangan Apabila Berlakunya Krisis Di Timur Tengah?

2 Comments »




Pagi tadi, seorang rakan bernama Arif bertanya, kenapa bila ada krisis di negara-negara Timur Tengah, memerlukan campur tangan dari Barat.  Lalu aku menjawab dengan membetulkan sedikit soalannya, iaitu sebenarnya apa perlunya barat campur tangan?

Kemudian aku terus menghurai 

"Begini, Timur Tengah adalah kawasan yg sensitif bagi Barat sebab banyak kepentingan ekonomi Barat terletak di situ. Paling utama minyaklah. Jadi walau apapun krisis yg berlaku di Timur Tengah, Barat pasti akan campur tangan walaupun tidak diminta. Kalau negara-negara Timur Tengah berada dalam keadaan tidak stabil, ianya pasti akan menjejaskan kepentingan Barat dan Barat terpaksa campur tangan. Tapi untuk memahami isu ini kita perlu lihat 7 tahun ke belakang iaitu ketika Iraq diserang U.S. Antara alasan yang digunakan U.S ialah melalui Perang Iraq ianya akan menjadi permulaan untuk penyebaran amalan sistem demokrasi di Timur Tengah. Bermakna sudah lama barat mengidamkan negara-negara Timur Tengah menjadikan demokrasi sebagai sistem utama dalam sistem pemerintahan. Kenapa? Sebab kebiasaannya negara yang mengamalkan sistem demokrasi cenderung juga untuk mengamalkan sistem pasaran bebas . Negara yang mengamalkan sistem pasaran bebas juga cenderung mengamalkan dasar buka pintu dalam perdagangan kepada negara-negara luar. Hal ini akan memudahkan barat menjalankan urusan perdagangan dengan negara-negara ini seterusnya memelihara kepentingan ekonomi mereka."

Aku berhenti sekejap,berfikir, dan menyambung kembali.

"Kita balik semula ke masa sekarang. Kita bandingkan krisis yg berlaku di Mesir dan Libya. Barat dilihat kurang campur tangan di Mesir berbanding Libya padahal Mesir adalah sekutu rapat U.S. Sepatutnya sekutu kenalah tolong kan.Sebabnya memang barat mahukan krisis itu berlaku dengan harapan apabila Hosni Mubarak jatuh, Mesir akan menukar sistem pemerintahannya kepada demokrasi dan akan berlakulah perkara yg aku sebut tadi. Berbanding di Libya sebab Muammar Ghaddafi bukan sekutu, maka barat bolehlah campur tangan tanpa segan silu dan tentunya lebih agresif. Barat membantu dari segi serangan udara, bekalan senjata dan latihan ketenteraan kepada pemberontak. Tapi matlamatnya tetap sama, sebab ekonomi tadilah."

Berhenti lagi. Cuba mengingati sesuatu. Sambung balik. 



"Begitu juga yang berlaku di Syria sekarang,barat lebih kuat mendesak Asad supaya berundur sebab Syria bukan sekutu dan selalu dilihat mengancam Israel. Bila Libya dan Syria dah jatuh, maka kemungkinan besar demokrasi akan tertegak di kedua-dua negara ini. Biasalah lepas krisis, pasti ada usaha untuk membangunkan kembali negara-negara ini lepas perang kan. Maka di sinilah barat akan membawa masuk kontraktor-kontraktor mereka untuk membangunkan kembali infrastruktur yg musnah dan pastinya kerajaan baru akan lebih termakan budi dan lebih mengikut telunjuk barat. Kesimpulannya walau apapun krisis yg berlaku di timur tengah, keuntungannya akan lebih memihak kepada Barat."




Arif mencelah "Maknanya apa saja yang Barat buat, hanya untuk menjaga kepentingan Barat kan?"

Aku mengangguk, mengiakan.
"Iye Arif, ekonomi sebab paling penting. Kalau tak, tak ada maknanya Barat nak jadi hero campur tangan dekat Timur Tengah tu. Kau tengoklah di Somalia tu, ada dia orang nak tolong? Sebabnya mudah, Somalia tak membawa sebarang keuntungan dari segi ekonomi kepada Barat."

Arif diam. Tapi dari air mukanya dia seakan faham. Dan perbualan kami tamat disitu.





Mahu Jadi Jebat?

No Comments »


Dewasa ini aku lihat ramai anak muda yang teringin jadi Hang Jebat. Seorang pendekar gagah yang berani menegakkan kebenaran dan melawan kezaliman. Kerana sahabatnya Hang Tuah difitnah dan dihukum Sultan,  istana diserangnya dan Sultan beserta para pembesar habis dihalaunya.Terinspirasi dari keberanian Hang Jebat melawan kekuasaan, maka anak-anak muda kini sentiasa lantang mengkritik pihak-pihak yang berkuasa jika ada sebarang isu yang timbul yang dilihat merugikan kepentingan rakyat. Mereka mengkritik sama ada melalui laman sosial facebook, twitter mahupun di blog-blog.

Akan tetapi dalam keghairahan tersebut, jangan kita lupa untuk menyelidiki dahulu kebenaran isu-isu yang ditimbulkan. Perlu diteliti dahulu apakah isu-isu itu mempunyai fakta ataupun sekadar direka-reka unuk menyedapkan cerita. Faktalah yang membezakan sama ada ianya isu yang wajar diambil perhatian ataupun tidak. Tanpa fakta yang tepat ia hanyalah khabar-khabar angin. Di sinilah  fikiran yang matang diperlukan supaya kita dapat mempertimbangkan kebenaran isu itu, seterusnya apabila sudah disahkan dan diyakini barulah kita boleh bersuara. Jika tidak kita hanya akan jadi seperti anjing menyalak bukit, tekak sakit tapi bukit tak juga  runtuh2.

Berbalik kepada Hang Jebat, pada aku pengakhiran Hang  Jebat adalah satu tragedi. Dia bangkit melawan kekuasaan yang didakwanya menindas. Padanya kematian Hang Tuah perlu dibela. Berbekalkan kepercayaannya dengan 'kebenaran' itu, dia mengamuk, istana dilanggar dan habis dayang-dayang dibunuhnya.Malangnya Hang Jebat tersilap, Hang Tuah nyata masih belum mati. Akhirnya 'kebenaran' itu muncul kembali dan dia sendiri akhirnya dibunuh oleh 'kebenaran' yang ingin dibelanya.

Catatan Usang

1 Comment »

Malam ini aku berada di dalam kamar usang. Kamar ini memang usang. Di dalamnya hanya ada sebuah meja usang yang terlekat di dinding, katil kayu usang yang hampir roboh, almari usang yang berhabuk, lampu usang yang cahayanya malap, radio usang yang bunyinya berderak-derak, cawan usang yang sumbing, buku-buku usang yang carik-carik, dan laptop usang yang dipenuhi virus-virus. Meskipun usang, kamar inilah yang menjadi tempat aku berteduh daripada panas dan hujan, memberikanku ruang privasi dan juga ruang untuk aku meladeni segala mimpi-mimpi.

Seperti manusia lain yang umurnya berlegar di ruang dan masa ciptaan illahi, aku juga punya kehidupan sendiri. Dan seakan-akan perkara yang merugikan jika kehidupan itu berlalu tanpa ada daya daripadaku untuk menangkap setiap puzzle-puzzle peristiwa yang terpecah-pecah itu dan mencantumkannya ke dalam satu catatan. Maka akhirnya aku mengambil inisiatif memanfaatkan kemudahan teknologi membangunkan blog ini yang mana akan menjadi ruangan yang akan mengisi setiap catatan. Catatan yang akan mencatat segala pemerhatian dan pandanganku tentang dunia dan isi-isinya. Dan catatan ini ditaip ketika batang tubuhku sedang berada di dalam kamar, kamar yang usang.

Kepada rakan-rakan lain yang bakal membaca segala catatan ini, selamat membaca aku ucapkan. Catatan ini memang untuk dikongsi kerana itulah aku menaipkannya di blog, jika tidak lebih baik aku catat dalam diari saja. Dan sesungguhnya hidup kita terlalu singkat untuk disia-siakan.


"Dari kamar usang aku melihat dunia"

Powered by Blogger.