Hari ini keluar satu artikel dari sebuah akhbar tempatan yang mengatakan tahap kesedaran anak muda untuk mendaftarkan diri menjadi pengundi masih rendah. Seolah-olah golongan muda tidak sedar pentingnya penglibatan mereka dalam amalan demokrasi untuk memilih pemimpin yang betul seterusnya membentuk kerajaan yang mantap.
Memang betul kalau dilihat pada statistik yang diberi memperlihatkan kesedaran golongan muda terhadap politik semasa tidak begitu memberangsangkan. Tetapi kenapa mereka menjadi begitu. Kenapa mereka tidak seperti anak muda zaman dulu yang begitu aktif dalam kegiatan berpolitik dan sedar akan pentingnya mengundi.
Pada pandangan aku kerajaan sendiri tidak begitu menggalakkan kegiatan berpolitik di kalangan anak muda ini. Terutamanya anak muda yang mendapat pendidikan tinggi. Lihat saja pada pelaksanaan AUKU yang masih dikuatkuasakan di IPTA sehingga sekarang. Pelajar IPTA dihalang daripada bergiat di dalam parti-parti politik. Sehingga jika ditangkap mendengar ceramah politik (terutamanya yang dianjurkan parti pembangkang) sekalipun, boleh dikenakan tindakan digantung dari pengajian.
Ada yang berpendapat bahawa AUKU sebenarnya tidak menghalang pelajar untuk menjadi peka tentang politik. Pelajar masih boleh mengambil tahu melalui pembacaan di akhbar ataupun di internet. Tetapi bagi aku setakat mendengar dari jauh saja tidak cukup, kita juga perlu merasa dan melihat dengan mata kepala sendiri untuk mendapat kefahaman yang jelas tentang politik. Tambahan pula AUKU telah mewujudkan 'culture of fear' di kalangan pelajar apabila keterlibatan dalam politik dilihat sebagai satu kesalahan yang amat besar. Bayangkan jika di sekolah hanya kesalahan yang berat seperti bergaduh dan ponteng sekolah lebih dari 2 bulan sahaja yang boleh menyebabkan seseorang pelajar itu dibuang. Maka apabila menghadiri ceramah politik kerana sifat ingin tahu tentang isu politik yang berlegar juga boleh menyebabkan pelajar IPTA itu dibuang, tidak peliklah jika pelajar-pelajar ini melihat politik sebagai sesuatu yang tidak elok dan wajar dijauhi . Ada yang mengatakan pelajar jangan terlibat dengan politik kerana ia boleh menjejaskan pelajaran. Tapi come on la, kalau selalu keluar tengok wayang dengan awek sampai lupa nak mengulangkaji boleh menyebabkan pelajaran seseorang itu terjejas, wajarkah aktiviti keluar tengok wayang itu juga perlu diharamkan?
Kesannya kesedaran mengundi di kalangan anak muda berpendidikan tinggi ini juga semakin kurang kerana pilihan raya juga salah satu daripada kegiatan berpolitik (yang sudah dipandang negatif tadi). Mendaftarkan nama dalam senarai pemilih dan seterusnya membuang undi dianggap sesuatu yang membuang masa dan tidak dapat mengubah apa-apa. Apa gunanya politik itu jika maknanya hanya memangkah calon parti politik sekali sepanjang 5 tahun dan seterusnya biar kerajaan yang uruskan. Tak perlu bersuara tentang apa-apa isu dan terima saja segala dasar yang dirangka oleh kerajaan, laksana 'habis madu sepah dibuang'.
Oleh itu antara cara terbaik untuk menggalakkan orang muda mendaftarkan nama dalam senarai pemilih,adalah dengan menggalakkan penyertaan mereka dalam kegiatan politik, bukan dihalang. Akta seperti AUKU yang digunakan untuk menakutkan-nakutkan pelajar juga wajar dimansuhkan. Kerajaan juga perlu lebih terbuka dalam mendengar kritikan orang ramai, kerana rakyat bukan setakat abdi yang perlu bekerja untuk meningkatkan hasil pengeluaran dalam negeri, mereka juga ada peranan dalam menentukan hala tuju ke mana negara ini perlu pergi.