Archive for 2012

Kegiatan Hari Ini

No Comments »

     Masuk hari ini dah hampir 2 minggu aku cuti. Ini yang seronok jadi cikgu, murid cuti cikgu pun cuti. So plan aku nak pergi Bangi beli dvd game. Tapi tak jadi sebab kena tunggu skynet datang rumah hantar barang. Adik aku beli baju guna online. Rajin betul dia beli barang guna online.
      So hari ini aku buat kerja yang biasa aku buat masa cuti. Mula-mula basuh baju. Spin pula buat hal. Aku telefon mak aku tanya "spin ni memang rosak ke?" mak aku pula explain spin tu tombolnya kena tekan sikit baru gerak. Dah tekan kuat-kuat baru la gerak. So setel satu kerja.
     Lepas siap sidai pakaian, masak pula. Daging dalam peti ais rumah aku sangat banyak, so aku keluarkan daging tu, nak buat masak sup. Tiba-tiba lupa pula resepi, so aku tanya member aku kat FB. Dia cakap sup daging lagi sedap masak dengan lada hitam. Sebab tadi aku confuse nak guna lada hitam ke lada putih.    

     Masak sup daging ni mudah, tapi leceh skit. Leceh sebab kena rebus daging tu lama sebab nak bagi empuk. Kalau nak selamat rebus sampai satu jam baru daging tu betul-betul empuk. Tengah sibuk2 merebus tiba-tiba ada org datang. Yes.. Skynet dah sampai dengan barang kiriman. So esok boleh teruskan rancangan pergi Bangi.

       Lepas masak sup, masak sayur pula. Sayur sawi. Makan sayur hijau penting sebab sayur mengandungi serat. Serat lah yang membantu proses penghadaman. Tapi kena berhati-hati. Sebab sayur di Malaysia tinggi kandungan racunnya. Jadi pastikan kita basuh dulu sayur tu. Kata kawan aku yang mengajar sains pertanian, elok kalau rendam sayur tu dalam air garam selama beberapa minit untuk pastikan racun yang ada di dalam sayur hilang.
           Masak pun dah selesai, lepas ni nak makan pula, lepas tu main game. Hari cuti memang hari bahagia.
            #PrayForGaza #Boikot McD  #BerhentiHisapRokok
      

Anak Muda tidak Peka Tentang Politik?

No Comments »

Hari ini keluar satu artikel dari sebuah akhbar tempatan yang mengatakan tahap kesedaran anak muda untuk mendaftarkan diri menjadi pengundi masih rendah. Seolah-olah golongan muda tidak sedar pentingnya penglibatan mereka dalam amalan demokrasi untuk memilih pemimpin yang betul seterusnya membentuk kerajaan yang mantap.

Memang betul kalau dilihat pada statistik yang diberi memperlihatkan kesedaran golongan muda terhadap politik semasa tidak begitu memberangsangkan. Tetapi kenapa mereka menjadi begitu. Kenapa mereka tidak seperti anak muda zaman dulu yang begitu aktif dalam kegiatan berpolitik dan sedar akan pentingnya mengundi.

Pada pandangan aku kerajaan sendiri tidak begitu menggalakkan kegiatan berpolitik di kalangan anak muda ini.  Terutamanya anak muda yang mendapat pendidikan tinggi. Lihat saja pada pelaksanaan AUKU yang masih dikuatkuasakan di IPTA sehingga sekarang. Pelajar IPTA dihalang daripada bergiat di dalam parti-parti politik. Sehingga jika ditangkap mendengar ceramah politik (terutamanya yang dianjurkan parti pembangkang) sekalipun, boleh dikenakan tindakan digantung dari pengajian.

Ada yang berpendapat bahawa AUKU sebenarnya tidak menghalang pelajar untuk menjadi peka tentang politik. Pelajar masih boleh mengambil tahu melalui pembacaan di akhbar ataupun di internet. Tetapi bagi aku setakat mendengar dari jauh saja tidak cukup, kita juga perlu merasa dan melihat dengan mata kepala sendiri untuk mendapat kefahaman yang jelas tentang politik. Tambahan pula AUKU telah mewujudkan 'culture of fear' di kalangan pelajar apabila keterlibatan dalam politik dilihat sebagai satu kesalahan yang amat besar. Bayangkan jika di sekolah hanya kesalahan yang berat seperti bergaduh dan ponteng sekolah lebih dari 2 bulan sahaja yang boleh menyebabkan seseorang pelajar itu dibuang. Maka apabila menghadiri ceramah politik kerana sifat ingin tahu tentang isu politik yang berlegar juga boleh menyebabkan pelajar IPTA itu dibuang, tidak peliklah jika pelajar-pelajar ini melihat politik sebagai sesuatu yang tidak elok dan wajar dijauhi . Ada yang mengatakan pelajar jangan terlibat dengan politik kerana ia boleh menjejaskan pelajaran. Tapi come on la, kalau selalu keluar tengok wayang dengan awek sampai lupa nak mengulangkaji boleh menyebabkan pelajaran seseorang itu terjejas, wajarkah aktiviti keluar tengok wayang itu juga perlu diharamkan?

Kesannya kesedaran mengundi di kalangan anak muda berpendidikan tinggi ini juga semakin kurang kerana pilihan raya juga salah satu daripada kegiatan berpolitik (yang sudah dipandang negatif tadi). Mendaftarkan nama dalam senarai pemilih dan seterusnya membuang undi dianggap sesuatu yang membuang masa dan tidak dapat mengubah apa-apa. Apa gunanya politik itu jika maknanya hanya memangkah calon parti politik sekali sepanjang 5 tahun dan seterusnya biar kerajaan yang uruskan. Tak perlu bersuara tentang apa-apa isu dan terima saja segala dasar yang dirangka oleh kerajaan, laksana 'habis madu sepah dibuang'.

Oleh itu antara cara terbaik untuk menggalakkan orang muda mendaftarkan nama dalam senarai pemilih,adalah dengan menggalakkan penyertaan mereka dalam kegiatan politik, bukan dihalang. Akta seperti AUKU yang digunakan untuk menakutkan-nakutkan pelajar juga wajar dimansuhkan. Kerajaan juga perlu lebih terbuka dalam mendengar kritikan orang ramai, kerana rakyat bukan setakat abdi yang perlu bekerja untuk meningkatkan hasil pengeluaran dalam negeri, mereka juga ada peranan dalam menentukan hala tuju ke mana negara ini perlu pergi.

Aku dan Maggi Hot Cup

No Comments »

1. Peristiwa ini berlaku ketika aku bersekolah menengah. Waktu itu aku agak jakun sedikit dengan maggi hot cup sebab rasanya lebih sedap daripada maggi bungkus. Mungkin kerana kekenyalan mee tersebut dan perasaan lebih nikmat hadir bila memakannya di dalam cawan hot cup.

2. Malang harga maggi hot cup lebih mahal daripada maggi biasa. Mungkin sebab itu cuma sesekali mak aku membelinya. Maka aku pun jarang-jarang dapat menuangkan air panas ke dalam hot cup dan merasai pintalan mee kenyal yang terkandung di dalam. Isinya juga sedikit  berbanding maggi bungkus. Rasa memang nikmat tapi gagal memberikan kepuasan.

3. Maka satu idea timbul dari benakku. Selepas menghabiskan secawan, aku simpan dulu cawannya. Esoknya aku masak maggi bungkus, kemudian maggi itu aku letakkan dalam cawan hot cup kosong dengan harapan dapat merasai nikmat seperti makan maggi hot cup biasa dan pada masa yang sama merasai kepuasan memakan maggi dengan jumlah yang banyak.

4.  Ternyata aku tersilap menaruh harapan. Rasa maggi bungkus tetap juga seperti  maggi bungkus walaupun ditaruh ke dalam hot cup. Bahkan bila memakannya, bukan terasa lebih sedap, tetapi lebih pelik. Seperti memakan laksa cuma kuahnya saja yang laksa, tetapi dimakan bersama bihun.

5. Dari situ aku mendapat pelajaran moral nombor satu  iaitu kadangkala ada isi yang memang ditentukan untuk sesuatu bekas. Percubaan untuk menukarkan bekas itu dengan isi yang lain hanya akan menimbulkan kejanggalan dan kekeliruan.

Powered by Blogger.