Archive for October 2011

Antara Agama Dan Ilmu

No Comments »

Prof Hull dalam karya terkenalnya History and Philosophy of Science mengungkap kitaran pergelutan antara agama dan ilmu pengetahuan berlaku setiap enam abad. Beliau memulakan penelitiannya dengan mengkaji abad ke 6 SM sampai abad 1 M.

Tempoh waktu ini ditandai dengan lahirnya tokoh-tokoh falsafah Yunani terkemuka, seperti Tales, Pytagoras, Aristotel, dan Plato. Pada waktu ini, para ahli falsafah mengungguli populariti pemimpin politik dan pemimpin agama. Tokoh agama hampir tidak ditemui ketika itu.

Tempoh waktu kedua dimulakan dengan lahirnya Agama Kristian sampai abad 6 M. Waktu ini ditandai dengan merosotnya populariti ahli falsafah atau ilmuwan dan pengukuhan peranan penguasa yang bekerjasama dengan gereja.
Pada waktu ini, hampir tidak ditemui ahli falsafah dan ilmuan. Sebaliknya, tercatat sejumlah raja yang berkuasa mutlak. Orang ramai tidak berani mengkaji ilmu pengetahuan kerana itu akan mendatangkan malapetaka baginya, terutama jika hasil pemikirannya bertentangan dengan pendapat istana dan gereja. 

Akibatnya, muncullah zaman kegelapan dan kebodohan. Waktu inilah yang melatari lahirnya agama Islam. Dari sini, dapat difahami mengapa Iqra menjadi titik mula ajaran Islam.

Tempoh waktu ketiga, yang bermula dengan lahirnya Nabi Muhammad (abad 6 M) sampai abad kebangkitan Eropah (abad 13 M). Rasulullah memadukan ilmu pengetahuan dengan agama, yang disimbolkan dalam iqra' bi ismi rabbik! (Bacalah dengan nama Tuhanmu). 

Iqra' adalah simbol ilmu pengetahuan, sedangkan bi ismi rabbik sebagai simbol agama. Iqra' tanpa bi ismi rabbik atau bi ismi rabbik tanpa iqra' terbukti tidak mengangkat martabat manusia dan kemanusiaan.

Tempoh waktu keempat bermula dengan melemahnya pengaruh pusat-pusat kerajaan Islam dan kebangkitan Eropah di abad 13 M. Pada waktu ini, dunia Barat hanya mengembangkan sains dan teknologi, tetapi melupakan agama sebagai pembimbingnya. Mereka mengambil kekayaan intelektual dunia Islam, tetapi meninggalkan agama.

Tempoh waktu kelima ditandai dengan kejenuhan manusia memuja pemikirannya sendiri. Akhirnya, muncul berbagai gerakan dan falsafah yang bertema kemanusiaan, seperti gerakan posmodernisme. Menurut Hull, manusia tidak mungkin dapat melepaskan diri dari agama. Dan, agama yang tidak sejalan dengan ilmu pengetahuan tidak punya tempat di masa depan.
Sumber : Studi Filsafat

Kisah 47 Ronin Dan Graduan Lepasan ISMP

2 Comments »


1.  Samurai adalah golongan pahlawan yang juga tentera professional. Mengikut kod Bushido (kod etika samurai), setiap Samurai wajib berkhidmat di bawah seorang tuan (Daimyo).Jika Daimyo mereka mati,  Samurai akan kehilangan statusnya dan mereka yang tidak bertuan inilah yang dikenali sebagai Ronin.

2.  Pada abad ke 18, berlaku satu peristiwa di Jepun, yang membabitkan 47 Ronin membalas dendam   kematian tuan mereka, yang diingati sehingga sekarang. Peristiwa ini bermula apabila seorang Daimyo, Asano Naganori dipaksa membunuh diri setelah melakukan kesalahan menyinggung seorang pegawai tinggi kerajaan, Kira Yoshinaka.

3. Akibatnya, kediaman Naganori dirampas pihak kerajaan, keluarganya dihalau dan 300 samurai yang berkhidmat di bawahnya menjadi Ronin. Akan tetapi 47 daripada 300 ronin ini bertekad mahu membalas dendam kematian Daimyo mereka.

4. Untuk menampung hidup, mereka melakukan kerja-kerja lain seperti menjadi peniaga, pekerja dalam bidang pertukangan dan sami. Ada juga yang terus menganggur dan menghabiskan masa di kedai-kedai arak dan rumah pelacuran. Ini juga dilakukan sebagai penyamaran bagi mengelakkan timbul syak-wasangka oleh pengintip Kira Yoshinaka yang sentiasa mengintip pergerakan Ronin-Ronin ini kerana bimbang kemungkinan mereka akan membalas dendam. 47 Ronin mengambil masa dua tahun hidup sebagai orang biasa untuk meyakinkan Kira Yoshinaka bahawa mereka tiada niat membalas dendam seterusnya membuatkan Yoshinaka menjadi lalai dan tidak mengetatkan kawalan di kediamannya.

4. Masa yang ditunggu akhirnya tiba. Setelah dua tahun berlalu, 47 Ronin berkumpul di Edo, memperbaharui sumpah mereka untuk membalas dendam. Mereka kemudian menyerang kediaman Yoshinaka dan berjaya membunuhnya. Kepala Yoshinaka kemudian dibawa ke kuil yang menempatkan kubur Naganori.

5. Setelah itu, 47 Ronin menyerah diri kepada pihak kerajaan. Shogun yang terharu dengan kesetiaan mereka, akhirnya membenarkan mereka mati secara terhormat iaitu melakukan ritual Seppuku daripada menghukum mereka mati sebagai penjenayah.

6. Sekarang, peristiwa yang hampir sama berlaku kepada graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP). Setelah bergraduasi pada tahun 2011 dan beberapa bulan menganggur,mereka masih tidak dapat memohon menjadi guru, kerana pengambilan baru jawatan pendidikan telah dibekukan oleh 'tuan' mereka.

7. Untuk menampung kehidupan, mereka terpaksa melakukan kerja-kerja lain, seperti menjadi penoreh getah, pekerja di pusat bowling, menolong kawan berniaga di kedai makan dan kerani pejabat. Ada juga yang terus menganggur dan hanya duduk di rumah. Yang ada kelebihan dari segi kewangan, menyambung pengajian ke peringkat Sarjana.

8. Yang berani sedikit, memperjuangkan isu ini melalui media massa atau membawanya ke pengetahuan pihak kementerian.Tetapi jawapan yang diterima masih menghampakan dengan tiada kepastian bila permohonan jawatan guru untuk lepasan ISMP akan dibuka semula. Pertanyaan dari saudara-mara dan rakan-rakan tentang bila akan diposting ke jawatan guru sebenarnya lebih merimaskan kerana mereka menyangka lepasan ISMP telahpun dijamin tempatnya sebagai guru-guru di sekolah.

9. Tambah mengecewakan, dikatakan pengambilan tersebut dibekukan kerana memberi laluan kepada guru-guru sandaran tidak terlatih untuk diserapkan ke jawatan tetap. Mereka adalah di kalangan lepasan ijazah bukan pendidikan yang menjadi guru-guru ganti di sekolah-sekolah. Ada juga ura-ura mengatakan mulai tahun depan sistem pengambilan akan ditukar kepada 'open market' di mana keistimewaan pengambilan jawatan guru bukan lagi milik para lepasan ijazah pendidikan, tetapi dibuka kepada semua lepasan ijazah yang memperoleh keputusan yang cemerlang tanpa mengira bidang yang diambil. Dasar ini seperti meminggirkan mereka yang telahpun terlatih menjadi guru dan mengutamakan mereka yang tidak terlatih.

 10. Seperti Samurai yang kehilangan kedudukan dan dicemuh setelah menjadi Ronin, pasti akan timbul perasaan tidak puas hati. Tetapi mereka hanya lepasan ISMP, bukannya samurai. Tidak ada yang berani mengambil tindakan drastik seperti menyerang mana-mana 'institusi' walaupun berasakan hak mereka telahpun digugat. Mereka tetap akur dan patuh menunggu arahan dari 'Tuan'. Diharapkan nasib lepasan 'ISMP' ini diberi sedikit perhatian dan pembelaan kerana kebanyakan dari mereka sudah lama bercita-cita menjadi guru.

PERSEPSI : UMNO dan PAS, dua seteru yang saling memerlukan

No Comments »

UMNO dan PAS adalah dua parti politik yang berpengaruh di Malaysia. Walaupun demografi ahli kedua-dua parti tersebut adalah sama, iaitu melayu dan beragama Islam, mereka dilihat sebagai musuh tradisi dalam gelanggang politik akibat percanggahan dari segi dasar dan ideologi. UMNO dilihat sebagai lebih bernasib baik kerana menjadi parti politik utama dalam Barisan Nasional yang tidak pernah gagal memenangi Pilihan Raya selama lebih 50 tahun seterusnya memiliki kuasa yang besar dalam kerajaan. Walaupun begitu, PAS juga dilihat tidak pernah berkurang pengaruhnya kerana sejarah kewujudan dan perjuangannya yang lama malah semakin bertambah dari masa ke masa.

Percanggahan paling besar antara kedua-dua parti ialah tentang tafsiran bentuk negara Islam. UMNO yang sejarah awalnya ditubuhkan oleh para nasionalis berpendidikan barat tidak dapat lari dari fahaman sekular dan menerapkannya dalam sistem pentadbiran kerajaan apabila menang dalam persaingan mendapatkan kemerdekaan seterusnya membentuk kabinet kerajaan tanah melayu yang pertama. Lebih-lebih lagi tanah melayu pada masa itu merdeka dari jajahan British dan mengambil sistem dari British ketika membentuk perlembagaannya. Kerjasama dari parti-parti politik berlainan bangsa yang bergabung dalam Parti Perikatan menyebabkan ada kekangan dari pihak UMNO untuk menerapkan sistem perundangan Islam secara keseluruhan. Tetapi UMNO masih mempertahankan kepentingan Islam dalam dasar-dasarnya apabila memperkenalkan sistem perundangan syariah yang diubahsuai dari segi bentuk hukuman kepada pesalah di bawah akta  jenayah syariah. Begitu juga dengan mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan yang membolehkan Malaysia diperkenalkan sebagai salah sebuah dari sekian negara-negara Islam. Walaubagaimanapun hal ini tidak dipersetujui oleh PAS kerana bagi PAS Malaysia tidak boleh diiktiraf sebagai Negara Islam selagi tidak mengimplementasikan undang-undang Hudud dalam sistem perundangannya. Perbezaan pendapat ini menyebabkan kedua-dua parti sering berselisih dan saling bersaing untuk mendapat kerusi dalam setiap pilihan raya.

Akan tetapi di sebalik perbezaan tersebut, UMNO dan PAS sebenarnya adalah 'dua musuh yang saling memerlukan'. Hal ini kerana kedua-dua parti memegang nilai-nilai KONSERVATIF baik dari segi arah perjuangan, dasar-dasar dan cara membuat keputusan. Pengertian konservatif di sini ialah kedua-dua parti mengutamakan kemuliaan agama Islam, nilai-nilai dan budaya yang bersifat ketimuran dan kepentingan masyarakat untuk hidup secara berkumpulan. Walaupun secara luarannya berbentuk sekular, tetapi secara dalamannya UMNO masih kuat memegang rupa bentuk konservatif ini. PAS sebagai parti saingan utama dilihat sentiasa bersedia mengkritik dan 'mengingatkan' UMNO jika UMNO lari dari landasan konservatif ini seterusnya menjadi terlalu liberal dalam pendekatannya. Hal ini menyebabkan PAS sangat penting sebagai check-and-balance bagi UMNO. PAS yang mengutamakan perjuangan Islam memperlihatkan sentiasa bersedia menggantikan UMNO jika UMNO mengabaikan nilai-nilai Islam dalam pemerintahannya. Hal ini menyebabkan UMNO sentiasa prihatin terhadap kepentingan menjaga kedudukan agama Islam dan menangani kes-kes yang boleh menggugat umat Islam seperti isu murtad dan sebagainya. Kerajaan yang dipimpin UMNO juga perlu berfikir sehingga dua tiga kali sebelum membenarkan pembukaan pusat hiburan dan perjudian kerana perkara-perkara ini pasti akan dibangkitkan oleh Pas.Hal ini sebenarnya memberikan keuntungan kepada umat Islam kerana nilai-nilai bersifat konservatif ini dilihat sebagai lebih sesuai dalam menjaga kepentingan mereka.

Malangnya selepas 1999, UMNO mula mengalami perpecahan seterusnya mewujudkan Parti Keadilan. Oleh kerana keahlian parti ini dibuka kepada masyarakat berbilang kaum, nilai-nilai yang lebih LIBERAL telah diterima dalam dasar-dasarnya. Maksud liberal di sini ialah berkembangnya cara pemikiran barat dalam melihat sesuatu isu, beberapa perkara dalam menangani permasalahan umat Islam boleh ditoleransikan dan mengutamakan kepentingan hak-hak dan cara hidup secara individu berbanding kumpulan. Tambahan pula ketika pemerintahan Pak Lah, nilai-nilai liberal tidak lagi dikawal secara ketat berbanding ketika zaman Tun Dr Mahathir menyebabkan ianya terus berleluasa. Kemunculan dan meluasnya penggunaan internet menyebabkan media-media alternatif seperti blog-blog yang mempromosikan nilai-nilai Liberal juga tumbuh seperti cendawan selepas hujan seterusnya mendapat sambutan terutamanya dalam kalangan golongan muda.

Selepas Barisan Nasional mengalami kekalahan di beberapa negeri dan kehilangan majoriti 2/3 undi di parlimen kepada pakatan pembangkang, PKR muncul sebagai parti yang paling berkuasa dalam pakatan tersebut.Ianya juga memberikan kelebihan kepada golongan liberal yang sudah sedia ramai dalam PKR. PAS yang pada mulanya hanya membantu untuk sama-sama cuba menjatuhkan BN dalam pilihanraya akhirnya bekerjasama secara rapat dengan parti DAP dan PKR untuk membentuk Pakatan Rakyat walaupun mempunyai dasar yang jauh berbeza sama sekali kerana melihat keberjayaan formula pakatan tersebut. Hal ini menyebabkan PAS juga terpaksa bertolak-ansur dalam beberapa perkara dengan golongan liberal dalam DAP dan PKR kerana hanya dengan itulah mereka boleh bekerjasama dengan baik. Ianya melarat sehingga PAS sendiri diresapi oleh unsur-unsur liberal ini dan ianya boleh dilihat melalui pandangan mereka dalam isu penggunaan kalimah Allah bagi yang bukan beragama Islam, isu serbuan JAIS terhadap sebuah gereja yang dikatakan cuba memurtadkan orang Islam dan menukar dasar parti dari memperjuangkan negara Islam kepada negara berkebajikan.

Hal ini menyebabkan UMNO kehilangan 'musuh' yang selama ini sentiasa menegurnya dalam isu-isu yang melibatkan Islam. Kerana tuntutan semasa, UMNO juga terpaksa menurunkan tahap 'kekonservatifannya' agar dilihat tidak terlalu ekstrem dan radikal seterusnya kehilangan undi bukan melayu. PAS sudah tidak mampu untuk menegur secara lantang lagi kepada UMNO kerana ia akan kelihatan seperti meludah ke muka sendiri kerana PAS sendiri tidak mampu menegur rakan-rakan politiknya seperti PKR dan DAP apabila mereka mengambil pendirian yang tidak menguntungkan umat Islam dalam beberapa perkara yang melibatkan agama Islam . Yang paling terjejas dalam hal ini pastilah golongan konservatif melayu Islam  kedua-dua parti (UMNO dan PAS) yang walaupun tidak bersetuju dengan kemasukan nilai-nilai liberal ini, terpaksa menerimanya kerana setia dengan parti masing-masing. Yang bukan ahli kedua-duanya pula tiada pilihan lain kerana kedua-duanya sudahpun tidak sekonservatif seperti dahulu dan terpaksa menerimanya atas nama perubahan.

Yang paling beruntung atas kejatuhan golongan konservatif ini pastilah golongan liberal. Pertubuhan NGO bersifat liberal seperti IFC dan SIS semakin berani menuntut perkara yang bukan-bukan kerana mereka tahu parti-parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang perlu mendengar suara mereka. Buktinya orang penting dalam IFC seperti Ambiga yang pernah menjadi peguam bela satu kes murtad diterima sebagai Pengerusi demonstrasi Bersih 2.0 yang mana Pas adalah salah satu dari parti politik yang menyokong demonstrasi ini. Golongan liberal dilihat mempunyai pengaruh yang kuat untuk untuk menentukan keputusan yang akan diambil dalam sesuatu isu kerana mereka memang lantang bersuara, kebanyakannya berpendidikan tinggi dan memang aktif berpolitik sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang. Pihak konservatif pula dikatakan sudah ketinggalan zaman,selain sering dilabelkan sama ada rasis ataupun ekstrimis.

Tetapi harus diingat bahawa golongan konservatif ini masih ramai dan juga boleh dikatakan sebagai 'silent majority'.  Mereka amat merindukan PAS dan UMNO yang dahulu, dua seteru yang sebenarnya saling memerlukan dalam mempertahankan tradisi konservatif itu.










Powered by Blogger.