PERSEPSI : UMNO dan PAS, dua seteru yang saling memerlukan

UMNO dan PAS adalah dua parti politik yang berpengaruh di Malaysia. Walaupun demografi ahli kedua-dua parti tersebut adalah sama, iaitu melayu dan beragama Islam, mereka dilihat sebagai musuh tradisi dalam gelanggang politik akibat percanggahan dari segi dasar dan ideologi. UMNO dilihat sebagai lebih bernasib baik kerana menjadi parti politik utama dalam Barisan Nasional yang tidak pernah gagal memenangi Pilihan Raya selama lebih 50 tahun seterusnya memiliki kuasa yang besar dalam kerajaan. Walaupun begitu, PAS juga dilihat tidak pernah berkurang pengaruhnya kerana sejarah kewujudan dan perjuangannya yang lama malah semakin bertambah dari masa ke masa.

Percanggahan paling besar antara kedua-dua parti ialah tentang tafsiran bentuk negara Islam. UMNO yang sejarah awalnya ditubuhkan oleh para nasionalis berpendidikan barat tidak dapat lari dari fahaman sekular dan menerapkannya dalam sistem pentadbiran kerajaan apabila menang dalam persaingan mendapatkan kemerdekaan seterusnya membentuk kabinet kerajaan tanah melayu yang pertama. Lebih-lebih lagi tanah melayu pada masa itu merdeka dari jajahan British dan mengambil sistem dari British ketika membentuk perlembagaannya. Kerjasama dari parti-parti politik berlainan bangsa yang bergabung dalam Parti Perikatan menyebabkan ada kekangan dari pihak UMNO untuk menerapkan sistem perundangan Islam secara keseluruhan. Tetapi UMNO masih mempertahankan kepentingan Islam dalam dasar-dasarnya apabila memperkenalkan sistem perundangan syariah yang diubahsuai dari segi bentuk hukuman kepada pesalah di bawah akta  jenayah syariah. Begitu juga dengan mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan yang membolehkan Malaysia diperkenalkan sebagai salah sebuah dari sekian negara-negara Islam. Walaubagaimanapun hal ini tidak dipersetujui oleh PAS kerana bagi PAS Malaysia tidak boleh diiktiraf sebagai Negara Islam selagi tidak mengimplementasikan undang-undang Hudud dalam sistem perundangannya. Perbezaan pendapat ini menyebabkan kedua-dua parti sering berselisih dan saling bersaing untuk mendapat kerusi dalam setiap pilihan raya.

Akan tetapi di sebalik perbezaan tersebut, UMNO dan PAS sebenarnya adalah 'dua musuh yang saling memerlukan'. Hal ini kerana kedua-dua parti memegang nilai-nilai KONSERVATIF baik dari segi arah perjuangan, dasar-dasar dan cara membuat keputusan. Pengertian konservatif di sini ialah kedua-dua parti mengutamakan kemuliaan agama Islam, nilai-nilai dan budaya yang bersifat ketimuran dan kepentingan masyarakat untuk hidup secara berkumpulan. Walaupun secara luarannya berbentuk sekular, tetapi secara dalamannya UMNO masih kuat memegang rupa bentuk konservatif ini. PAS sebagai parti saingan utama dilihat sentiasa bersedia mengkritik dan 'mengingatkan' UMNO jika UMNO lari dari landasan konservatif ini seterusnya menjadi terlalu liberal dalam pendekatannya. Hal ini menyebabkan PAS sangat penting sebagai check-and-balance bagi UMNO. PAS yang mengutamakan perjuangan Islam memperlihatkan sentiasa bersedia menggantikan UMNO jika UMNO mengabaikan nilai-nilai Islam dalam pemerintahannya. Hal ini menyebabkan UMNO sentiasa prihatin terhadap kepentingan menjaga kedudukan agama Islam dan menangani kes-kes yang boleh menggugat umat Islam seperti isu murtad dan sebagainya. Kerajaan yang dipimpin UMNO juga perlu berfikir sehingga dua tiga kali sebelum membenarkan pembukaan pusat hiburan dan perjudian kerana perkara-perkara ini pasti akan dibangkitkan oleh Pas.Hal ini sebenarnya memberikan keuntungan kepada umat Islam kerana nilai-nilai bersifat konservatif ini dilihat sebagai lebih sesuai dalam menjaga kepentingan mereka.

Malangnya selepas 1999, UMNO mula mengalami perpecahan seterusnya mewujudkan Parti Keadilan. Oleh kerana keahlian parti ini dibuka kepada masyarakat berbilang kaum, nilai-nilai yang lebih LIBERAL telah diterima dalam dasar-dasarnya. Maksud liberal di sini ialah berkembangnya cara pemikiran barat dalam melihat sesuatu isu, beberapa perkara dalam menangani permasalahan umat Islam boleh ditoleransikan dan mengutamakan kepentingan hak-hak dan cara hidup secara individu berbanding kumpulan. Tambahan pula ketika pemerintahan Pak Lah, nilai-nilai liberal tidak lagi dikawal secara ketat berbanding ketika zaman Tun Dr Mahathir menyebabkan ianya terus berleluasa. Kemunculan dan meluasnya penggunaan internet menyebabkan media-media alternatif seperti blog-blog yang mempromosikan nilai-nilai Liberal juga tumbuh seperti cendawan selepas hujan seterusnya mendapat sambutan terutamanya dalam kalangan golongan muda.

Selepas Barisan Nasional mengalami kekalahan di beberapa negeri dan kehilangan majoriti 2/3 undi di parlimen kepada pakatan pembangkang, PKR muncul sebagai parti yang paling berkuasa dalam pakatan tersebut.Ianya juga memberikan kelebihan kepada golongan liberal yang sudah sedia ramai dalam PKR. PAS yang pada mulanya hanya membantu untuk sama-sama cuba menjatuhkan BN dalam pilihanraya akhirnya bekerjasama secara rapat dengan parti DAP dan PKR untuk membentuk Pakatan Rakyat walaupun mempunyai dasar yang jauh berbeza sama sekali kerana melihat keberjayaan formula pakatan tersebut. Hal ini menyebabkan PAS juga terpaksa bertolak-ansur dalam beberapa perkara dengan golongan liberal dalam DAP dan PKR kerana hanya dengan itulah mereka boleh bekerjasama dengan baik. Ianya melarat sehingga PAS sendiri diresapi oleh unsur-unsur liberal ini dan ianya boleh dilihat melalui pandangan mereka dalam isu penggunaan kalimah Allah bagi yang bukan beragama Islam, isu serbuan JAIS terhadap sebuah gereja yang dikatakan cuba memurtadkan orang Islam dan menukar dasar parti dari memperjuangkan negara Islam kepada negara berkebajikan.

Hal ini menyebabkan UMNO kehilangan 'musuh' yang selama ini sentiasa menegurnya dalam isu-isu yang melibatkan Islam. Kerana tuntutan semasa, UMNO juga terpaksa menurunkan tahap 'kekonservatifannya' agar dilihat tidak terlalu ekstrem dan radikal seterusnya kehilangan undi bukan melayu. PAS sudah tidak mampu untuk menegur secara lantang lagi kepada UMNO kerana ia akan kelihatan seperti meludah ke muka sendiri kerana PAS sendiri tidak mampu menegur rakan-rakan politiknya seperti PKR dan DAP apabila mereka mengambil pendirian yang tidak menguntungkan umat Islam dalam beberapa perkara yang melibatkan agama Islam . Yang paling terjejas dalam hal ini pastilah golongan konservatif melayu Islam  kedua-dua parti (UMNO dan PAS) yang walaupun tidak bersetuju dengan kemasukan nilai-nilai liberal ini, terpaksa menerimanya kerana setia dengan parti masing-masing. Yang bukan ahli kedua-duanya pula tiada pilihan lain kerana kedua-duanya sudahpun tidak sekonservatif seperti dahulu dan terpaksa menerimanya atas nama perubahan.

Yang paling beruntung atas kejatuhan golongan konservatif ini pastilah golongan liberal. Pertubuhan NGO bersifat liberal seperti IFC dan SIS semakin berani menuntut perkara yang bukan-bukan kerana mereka tahu parti-parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang perlu mendengar suara mereka. Buktinya orang penting dalam IFC seperti Ambiga yang pernah menjadi peguam bela satu kes murtad diterima sebagai Pengerusi demonstrasi Bersih 2.0 yang mana Pas adalah salah satu dari parti politik yang menyokong demonstrasi ini. Golongan liberal dilihat mempunyai pengaruh yang kuat untuk untuk menentukan keputusan yang akan diambil dalam sesuatu isu kerana mereka memang lantang bersuara, kebanyakannya berpendidikan tinggi dan memang aktif berpolitik sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang. Pihak konservatif pula dikatakan sudah ketinggalan zaman,selain sering dilabelkan sama ada rasis ataupun ekstrimis.

Tetapi harus diingat bahawa golongan konservatif ini masih ramai dan juga boleh dikatakan sebagai 'silent majority'.  Mereka amat merindukan PAS dan UMNO yang dahulu, dua seteru yang sebenarnya saling memerlukan dalam mempertahankan tradisi konservatif itu.










This entry was posted on Tuesday, October 4, 2011. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response.

Leave a Reply

Powered by Blogger.