Prof Hull dalam karya terkenalnya History and Philosophy of Science mengungkap kitaran pergelutan antara agama dan ilmu pengetahuan berlaku setiap enam abad. Beliau memulakan penelitiannya dengan mengkaji abad ke 6 SM sampai abad 1 M.
Tempoh waktu ini ditandai dengan lahirnya tokoh-tokoh falsafah Yunani terkemuka, seperti Tales, Pytagoras, Aristotel, dan Plato. Pada waktu ini, para ahli falsafah mengungguli populariti pemimpin politik dan pemimpin agama. Tokoh agama hampir tidak ditemui ketika itu.
Tempoh waktu kedua dimulakan dengan lahirnya Agama Kristian sampai abad 6 M. Waktu ini ditandai dengan merosotnya populariti ahli falsafah atau ilmuwan dan pengukuhan peranan penguasa yang bekerjasama dengan gereja.
Pada waktu ini, hampir tidak ditemui ahli falsafah dan ilmuan. Sebaliknya, tercatat sejumlah raja yang berkuasa mutlak. Orang ramai tidak berani mengkaji ilmu pengetahuan kerana itu akan mendatangkan malapetaka baginya, terutama jika hasil pemikirannya bertentangan dengan pendapat istana dan gereja.
Akibatnya, muncullah zaman kegelapan dan kebodohan. Waktu inilah yang melatari lahirnya agama Islam. Dari sini, dapat difahami mengapa Iqra menjadi titik mula ajaran Islam.
Tempoh waktu ketiga, yang bermula dengan lahirnya Nabi Muhammad (abad 6 M) sampai abad kebangkitan Eropah (abad 13 M). Rasulullah memadukan ilmu pengetahuan dengan agama, yang disimbolkan dalam iqra' bi ismi rabbik! (Bacalah dengan nama Tuhanmu).
Iqra' adalah simbol ilmu pengetahuan, sedangkan bi ismi rabbik sebagai simbol agama. Iqra' tanpa bi ismi rabbik atau bi ismi rabbik tanpa iqra' terbukti tidak mengangkat martabat manusia dan kemanusiaan.
Tempoh waktu keempat bermula dengan melemahnya pengaruh pusat-pusat kerajaan Islam dan kebangkitan Eropah di abad 13 M. Pada waktu ini, dunia Barat hanya mengembangkan sains dan teknologi, tetapi melupakan agama sebagai pembimbingnya. Mereka mengambil kekayaan intelektual dunia Islam, tetapi meninggalkan agama.
Tempoh waktu kelima ditandai dengan kejenuhan manusia memuja pemikirannya sendiri. Akhirnya, muncul berbagai gerakan dan falsafah yang bertema kemanusiaan, seperti gerakan posmodernisme. Menurut Hull, manusia tidak mungkin dapat melepaskan diri dari agama. Dan, agama yang tidak sejalan dengan ilmu pengetahuan tidak punya tempat di masa depan.
Sumber : Studi Filsafat