1. Samurai adalah golongan pahlawan yang juga tentera professional. Mengikut kod Bushido (kod etika samurai), setiap Samurai wajib berkhidmat di bawah seorang tuan (Daimyo).Jika Daimyo mereka mati, Samurai akan kehilangan statusnya dan mereka yang tidak bertuan inilah yang dikenali sebagai Ronin.
2. Pada abad ke 18, berlaku satu peristiwa di Jepun, yang membabitkan 47 Ronin membalas dendam kematian tuan mereka, yang diingati sehingga sekarang. Peristiwa ini bermula apabila seorang Daimyo, Asano Naganori dipaksa membunuh diri setelah melakukan kesalahan menyinggung seorang pegawai tinggi kerajaan, Kira Yoshinaka.
3. Akibatnya, kediaman Naganori dirampas pihak kerajaan, keluarganya dihalau dan 300 samurai yang berkhidmat di bawahnya menjadi Ronin. Akan tetapi 47 daripada 300 ronin ini bertekad mahu membalas dendam kematian Daimyo mereka.
4. Untuk menampung hidup, mereka melakukan kerja-kerja lain seperti menjadi peniaga, pekerja dalam bidang pertukangan dan sami. Ada juga yang terus menganggur dan menghabiskan masa di kedai-kedai arak dan rumah pelacuran. Ini juga dilakukan sebagai penyamaran bagi mengelakkan timbul syak-wasangka oleh pengintip Kira Yoshinaka yang sentiasa mengintip pergerakan Ronin-Ronin ini kerana bimbang kemungkinan mereka akan membalas dendam. 47 Ronin mengambil masa dua tahun hidup sebagai orang biasa untuk meyakinkan Kira Yoshinaka bahawa mereka tiada niat membalas dendam seterusnya membuatkan Yoshinaka menjadi lalai dan tidak mengetatkan kawalan di kediamannya.
4. Masa yang ditunggu akhirnya tiba. Setelah dua tahun berlalu, 47 Ronin berkumpul di Edo, memperbaharui sumpah mereka untuk membalas dendam. Mereka kemudian menyerang kediaman Yoshinaka dan berjaya membunuhnya. Kepala Yoshinaka kemudian dibawa ke kuil yang menempatkan kubur Naganori.
5. Setelah itu, 47 Ronin menyerah diri kepada pihak kerajaan. Shogun yang terharu dengan kesetiaan mereka, akhirnya membenarkan mereka mati secara terhormat iaitu melakukan ritual Seppuku daripada menghukum mereka mati sebagai penjenayah.
6. Sekarang, peristiwa yang hampir sama berlaku kepada graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP). Setelah bergraduasi pada tahun 2011 dan beberapa bulan menganggur,mereka masih tidak dapat memohon menjadi guru, kerana pengambilan baru jawatan pendidikan telah dibekukan oleh 'tuan' mereka.
7. Untuk menampung kehidupan, mereka terpaksa melakukan kerja-kerja lain, seperti menjadi penoreh getah, pekerja di pusat bowling, menolong kawan berniaga di kedai makan dan kerani pejabat. Ada juga yang terus menganggur dan hanya duduk di rumah. Yang ada kelebihan dari segi kewangan, menyambung pengajian ke peringkat Sarjana.
8. Yang berani sedikit, memperjuangkan isu ini melalui media massa atau membawanya ke pengetahuan pihak kementerian.Tetapi jawapan yang diterima masih menghampakan dengan tiada kepastian bila permohonan jawatan guru untuk lepasan ISMP akan dibuka semula. Pertanyaan dari saudara-mara dan rakan-rakan tentang bila akan diposting ke jawatan guru sebenarnya lebih merimaskan kerana mereka menyangka lepasan ISMP telahpun dijamin tempatnya sebagai guru-guru di sekolah.
9. Tambah mengecewakan, dikatakan pengambilan tersebut dibekukan kerana memberi laluan kepada guru-guru sandaran tidak terlatih untuk diserapkan ke jawatan tetap. Mereka adalah di kalangan lepasan ijazah bukan pendidikan yang menjadi guru-guru ganti di sekolah-sekolah. Ada juga ura-ura mengatakan mulai tahun depan sistem pengambilan akan ditukar kepada 'open market' di mana keistimewaan pengambilan jawatan guru bukan lagi milik para lepasan ijazah pendidikan, tetapi dibuka kepada semua lepasan ijazah yang memperoleh keputusan yang cemerlang tanpa mengira bidang yang diambil. Dasar ini seperti meminggirkan mereka yang telahpun terlatih menjadi guru dan mengutamakan mereka yang tidak terlatih.
10. Seperti Samurai yang kehilangan kedudukan dan dicemuh setelah menjadi Ronin, pasti akan timbul perasaan tidak puas hati. Tetapi mereka hanya lepasan ISMP, bukannya samurai. Tidak ada yang berani mengambil tindakan drastik seperti menyerang mana-mana 'institusi' walaupun berasakan hak mereka telahpun digugat. Mereka tetap akur dan patuh menunggu arahan dari 'Tuan'. Diharapkan nasib lepasan 'ISMP' ini diberi sedikit perhatian dan pembelaan kerana kebanyakan dari mereka sudah lama bercita-cita menjadi guru.
tak sia2 sejarah kau dapat A. dapat hubungkait dengan keadaan semasa. aku bangga dengan kau. kau patut lebih bertegas dengan pihak terbabit. bukankah kau mantan presiden. ahhaaa~~
ReplyDelete(hati panas beb namun senyum itu perlu)
v(^_^)v
presiden cabuk je..hehe..tegas sgt pun nanti diorang tak ambik aku keje pulak..ko pun kna jaga pointer takut nanti ada org lain pula potong jalan ko..huhu
ReplyDelete